JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menahan seorang lelaki yang dikesan melakukan tiga kesalahan ketika memandu dalam dalam Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2026 (Ops HRAA) di Lebuhraya Sungai Besi di ibu negara pada Khamis lalu.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, ketika ditahan, pemandu terbabit melakukan tiga kesalahan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
“Sewaktu ditahan, lelaki terbabit dikesan menggunakan telefon bimbit dan semakan lanjut mendapati kereta dipandunya itu tiada perlindungan insurans dan LKM tamat tempoh.
“Kenderaan itu disita untuk tindakan selanjutnya mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, JPJ Kuala Lumpur sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.


