DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan sempena sambutan Hari Wesak dengan menyeru masyarakat agar menghayati nilai kebijaksanaan, kesederhanaan, ihsan dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, nilai-nilai berkenaan bukan sahaja menjadi asas dalam tradisi keagamaan, malah kekal relevan dalam usaha membina masyarakat yang saling memahami dan menghormati, khususnya dalam negara yang berbilang budaya, agama dan latar kehidupan.

Anwar berkata, dalam kepelbagaian masyarakat negara ini, nilai cinta, ihsan dan kasih sayang yang ditekankan sempena sambutan Wesak memberi makna mendalam ketika wujud pihak tertentu yang cuba menimbulkan perpecahan antara kaum dan agama.
“Saya percaya penyebaran cinta dan kasih sayang akan menenggelamkan hasutan kebencian, menjernihkan prasangka serta memperkukuh hormat dan persefahaman, yang menjadi asas kepada keharmonian dan perpaduan negara,” katanya dalam hantaran itu.
Perdana Menteri turut berharap sambutan Hari Wesak tahun ini membawa ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada penganut Buddha, selain terus menyemarakkan nilai kemanusiaan yang menyatukan rakyat sebagai sebuah bangsa yang beradab dan bermaruah.


