AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Bemban, Yadzil Yaakub mengingatkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa bekas Perdana Menteri itu bukan lagi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan tidak sepatutnya membuat sebarang pengumuman bagi pihak gabungan itu.
Beliau yang merupakan Ketua Pembangkang DUN Melaka berkata, Muhyiddin bukan individu yang akan menandatangani surat pelantikan calon pilihan raya bagi PN.
“Cukuplah bermain catur politik yang tidak membawa manfaat dan tumpukan perhatian kepada parti sendiri. Perkukuhkan jentera parti, bina kekuatan akar umbi dan jangan biarkan parti sendiri menjadi ‘penumpang’ yang bergantung kepada kekuatan parti-parti komponen lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang turut mempersoalkan mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang dilihat terbuka menerima parti-parti dalam IPR untuk bertanding di bawah panji PN, sedangkan sebelum ini didakwa menghalang kemasukan empat parti berteraskan Melayu ke dalam gabungan tersebut.
“Namun kini, secara tiba-tiba, IPR yang hala tujunya masih belum jelas diberi lampu hijau untuk bertanding menggunakan lambang PN.
“Apabila melibatkan parti-parti lain seperti Urimai dan Malaysian Advancement Party, beliau pula dilihat bersungguh-sungguh mahu membawa mereka masuk. Adakah langkah ini disengajakan untuk melemahkan PN dari dalam?” soal Yadzil
Yadzil berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin dalam satu ceramah di Melaka semalam, yang mendakwa PN mampu menyapu bersih kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri akan datang serta membenarkan parti-parti dalam gabungan longgar Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) bertanding menggunakan lambang PN.
Walaupun tidak menamakan keempat-empat parti Melayu yang dimaksudkan, sebelum ini dilaporkan bahawa Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia pimpinan Datuk Ibrahim Ali pernah mengemukakan permohonan untuk menyertai PN.
Dipimpin oleh Muhyiddin, IPR menghimpunkan 11 parti pembangkang termasuk PAS, Bersatu, Gerakan, Muda, Berjasa, Pejuang dan Putra. Parti lain dalam gabungan itu ialah Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Urimai.


