POLIS mengesahkan punca kematian pekerja binaan warga Myanmar dalam kebakaran memusnahkan bangunan dua tingkat bekas pawagam Odeon di Jalan Penang malam tadi adalah disebabkan mangsa terhidu asap.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, punca kematian itu berdasarkan laporan bedah siasat terhadap mayat warga asing terbabit.

“Susulan itu, polis menegaskan bahawa kes berkenaan tidak membabitkan sebarang unsur jenayah dan kematian mangsa berusia 56 tahun diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya ketika mengemas kini maklumat perkembangan kejadian dengan media hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Shoki Hamzah dilaporkan berkata, kebakaran membabitkan premis dua tingkat berkeluasan 1,393.54 meter persegi yang dijadikan pusat hiburan yang beroperasi di bangunan bekas pawagam Odeon, dengan anggaran kemusnahan sebanyak 70 peratus.
Beliau berkata, mayat Mohamad Boshi Sabi Ullah ditemukan dalam keadaan melecur tahap satu berhampiran pintu keluar bangunan dan dipercayai terperangkap ketika kebakaran dan mangsa cuba keluar untuk menyelamatkan diri.
Premis itu tidak beroperasi sejak hujung Februari lalu dan ketika kejadian, kerja pengubahsuaian sedang dijalankan.


