JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan pekerja binaan warga Myanmar yang maut dalam kebakaran memusnahkan bangunan dua tingkat bekas pawagam Odeon di Jalan Penang malam tadi dikenal pasti sebagai Mohamad Boshi Sabi Ullah.
Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, mayat mangsa berusia lingkungan 50-an ditemukan selepas operasi memadam kebakaran di bangunan bersejarah yang kini beroperasi sebagai sebuah pusat hiburan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan mengalami lecur tahap pertama,” katanya hari ini.
Menurut Mohamad Shoki, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut dalam kebakaran di bangunan bekas pawagam berkenaan yang ditutup bagi kerja-kerja pengubahsuaian.
Mengulas lanjut, Mohamad Shoki berkata, jabatan itu menerima panggilan kecemasan pada jam 8.50 malam.
Beliau berkata, kebakaran itu melibatkan sebuah premis hiburan kekal dua tingkat dengan anggaran 70 peratus musnah dijilat api.
Katanya, premis berkenaan tidak beroperasi ketika kejadian, manakala pengurusnya pula tiada di dalam bangunan sewaktu kebakaran bermula.
“Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 10.28 malam, namun operasi overhaul (pemeriksaan menyeluruh) masih diteruskan sehingga pagi ini berikutan runtuhan struktur yang besar.
“Runtuhan besar pada struktur bumbung dan dinding konkrit telah menyekat laluan ke bahagian tengah premis untuk kerja-kerja penyejukan dan pemeriksaan.
“Bahan dinding berasaskan gentian (fiber) juga menyumbang kepada merebaknya kebakaran, dan asap masih lagi kelihatan di lokasi kejadian,” tambahnya.


