SEBUAH bangunan yang menempatkan bekas Pawagam Odeon di Jalan Penang terbakar mengakibatkan seorang lelaki maut dipercayai selepas terperangkap dalam kebakaran itu malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika bangunan yang sebelum ini dijadikan kelab malam Midnight Black ditutup bagi kerja-kerja pengubahsuaian.

Pasukan bomba dan penyelamat bergegas ke lokasi bagi mengawal kebakaran di salah satu mercu tanda hiburan paling dikenali di negeri ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah mengesahkan seorang lelaki meninggal dunia selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran itu.
“Kami boleh mengesahkan bahawa seorang individu maut dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi, lapor NST.
Menurut beliau, punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan.
Bangunan yang terjejas itu terletak di tapak bersejarah yang pernah menempatkan Pawagam Odeon, antara pawagam paling ikonik dalam sejarah Pulau Pinang.
Premis itu pada asalnya dikenali sebagai Theatre Royal sebelum ditukar kepada King’s Theatre dan kemudiannya menjadi Pawagam Odeon, yang mewarnai industri hiburan negeri ini sejak awal abad ke-20.
Pada 1940, pawagam berkenaan menjalani proses pemodenan secara besar-besaran sebelum dibuka semula sebagai Pawagam Odeon dengan kemudahan peralatan tayangan, sistem pendingin hawa dan audio yang canggih pada zamannya.
Sepanjang beberapa dekad, pawagam itu menayangkan pelbagai filem Hollywood, karya klasik, filem berbahasa Cina, filem aksi Hong Kong, selain filem Tamil dan Hindi.
Pawagam itu menamatkan operasinya pada 31 Julai 2014, sekali gus menandakan berakhirnya era antara pawagam layar tunggal berdiri sendiri terakhir di Malaysia yang memberi tumpuan utama kepada filem berbahasa Tamil.
Selepas ditutup, bangunan itu melalui beberapa transformasi dengan menempatkan pelbagai konsep hiburan dan gaya hidup sebelum menjadi Midnight Black, sebuah kelab malam yang dibuka pada 2022.
Ramai penduduk Pulau Pinang menganggap bangunan itu sebagai sebahagian penting daripada warisan budaya dan sinematik pulau itu kerana telah menjadi destinasi hiburan bagi beberapa generasi selama lebih lapan dekad.
Pihak berkuasa dijangka mengeluarkan maklumat lanjut selepas siasatan mengenai punca kebakaran dan tahap kerosakan selesai dijalankan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying turut melawat lokasi kejadian malam tadi.


