SEORANG pemandu terselamat selepas kereta dipandunya melanggar sebatang besi long shaft yang dipercayai terjatuh dari sebuah kenderaan sebelum merempuh sebuah lori di Kilometer 54.1 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) arah Ijok di Kuala Selangor petang semalam.
Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika pemandu kereta terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke arah Tanjong Karang.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, maklumat berhubung kejadian itu diterima pada jam 5.44 petang.
Menurut beliau, setibanya di lokasi, pemandu kereta dikatakan terlanggar besi long shaft di atas jalan dipercayai jatuh dari sebuah lori.
“Impak pelanggaran mengakibatkan kereta terbabit hilang kawalan dan melanggar lori di lorong kecemasan sebelah kiri.
“Bagaimanapun pemandu kedua-dua kenderaan terlibat tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi media malam ini.
Menurut beliau, kes ini disiasat mengikut Peraturan 94 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 94 LN 170/59) dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Shahdan di talian 013-926 6196 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, tular dalam laman sosial rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan kemalangan itu.
Video berdurasi 17 saat itu menunjukkan sebuah kereta merempuh sebuah lori selepas melanggar objek di tengah lebuh raya.


