KELUARGA pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang hilang ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih, Tapah sejak 24 Mei lalu mengakui terlalu rindu untuk bertemu semula dengan wanita itu.
Anak tirinya, Nurr Asyikin Haszman, 29, kini tertanya-tanya mengenai keberadaan Jaslinda selepas melihat laporan mengenai perkembangan terkini wanita itu menerusi rakaman kamera pengawasan hidupan liar milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Tengok rakaman ini rasa rindu sangat. Mana ibu (Jaslinda), kenapa tak balik lagi?,” soalnya dalam satu hantaran di aplikasi Threads hari ini.
Kelibat Jaslinda, 49, dilihat melintasi satu daripada kamera pengawasan di lokasi laluan pendakian Gunung Batu Putih, dipercayai bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka pada hari pertama wanita itu dilaporkan hilang.
Ia berdasarkan hasil penelitian pasukan penyelamat ke atas cip kamera pengawasan di sekitar lokasi laluan pendakian gunung berkenaan, bagi memantau pergerakan pendaki wanita itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, Jaslinda didapati melintasi Kamera 1 sekitar jam 11.22 pagi 24 Mei lalu, dengan tiada rakaman lanjut menunjukkan beliau berpatah balik melintasi kamera itu.
Kata Nurr Asyikin, Jaslinda adalah antara ahli keluarga yang baik, selalu membantu dan melindungi dirinya sekiranya dalam kesusahan.
“Ibulah orang yang selalu bantu Ikin kalau kena marah dengan ayah. Baliklah ibu,” katanya.
Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lalu menerusi laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Dia dilapor hilang selepas kali terakhir dilihat MGP di puncak gunung.


