Penternak dakwa dua daripada enam kambing dicuri, disembelih

SEORANG pekerja kilang mendakwa dua daripada enam ekor kambing ternakannya lesap dipercayai dicuri dan disembelih di Batu 28, Kampung Hilir, Batang Melaka di Jasin semalam.

Mangsa yang bekerja sebagai operator pengeluaran membuat laporan di Balai Polis Batang Melaka pada jam 3.54 petang.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, lelaki itu menyedari kandang kambingnya diceroboh ketika tiba di lokasi kira-kira jam 12 tengah hari.

“Selepas memeriksa, dia mendapati seekor kambing jantan jenis bebiri dan seekor kambing kampung, masing-masing berusia kira-kira dua tahun hilang menyebabkan dia mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM1,600.

“Mangsa menyatakan kali terakhir dia datang ke kandang itu pada jam 6 petang kelmarin dan ketika itu keadaan adalah baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki kawasan kandang melalui bahagian pagar yang rosak dan berlubang sebelum menyembelih kedua-dua kambing di dalam kandang serta melarikannya.

“Pemeriksaan di lokasi turut menemukan kesan darah kering yang dipercayai darah kambing di lantai papan kandang dan berhampiran pagar belakang yang dipotong.

“Kandang kambing berstruktur papan itu dibina di bawah landasan kereta api di atas tanah rizab milik KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad),” katanya.

Lee berkata, kawasan kandang tidak berkunci dan hanya ditutup menggunakan tali kabel pada pintu masuk dan walaupun keseluruhan kawasan rizab berpagar, terdapat banyak bahagian pagar yang rosak dan berlubang.

“Selain itu, kawasan itu juga gelap pada waktu malam kerana tiada kemudahan lampu disediakan berhampiran kandang, landasan kereta api mahupun jalan berdekatan.

“Difahamkan, mangsa memelihara enam kambing dan ternakan itu diberi makan di dalam kandang dan turut dilepaskan untuk meragut di kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi itu dan polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img