KERAJAAN Sabah menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memandang serius sebarang usaha untuk menyebarkan mana-mana ajaran yang difatwakan salah, sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diwartakan di negeri itu pada 2019.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata, untuk itu, pihaknya segera bertindak sebaik sahaja menerima aduan awam berhubung satu kumpulan ajaran sesat yang mengadakan program di sebuah dewan sekolah di Likas, Kota Kinabalu semalam.
Menurut beliau, susulan aduan diterima, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUUS) JHEAINS menjalankan operasi terhadap program kumpulan itu membabitkan seramai 52 anggota penguat kuasa JHEAINS.
“Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 itu dikendalikan kumpulan Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) yang juga berkait dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani.
“Seramai 52 anggota Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) JHEAINS diarahkan untuk melaksanakan operasi itu dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan seramai 25 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi mengawal keselamatan.
“Hasil operasi yang dijalankan mendapati program itu sudah berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mei dan dianggarkan dihadiri hampir 300 orang peserta dari seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan JHEAINS bersama PDRM menahan 300 individu, termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama sebuah kumpulan dikaitkan dengan ajaran sesat dalam operasi bersepadu di dewan sebuah sekolah menengah di Likas semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Abdul Rahman, dalam kenyataan berkata, operasi itu dilancarkan susulan aduan awam mengenai satu program selama dua hari bermula kelmarin dipercayai menghimpunkan pengikut Jemaah Ahmadiyah Qadiani di sekolah itu.
Dalam pada itu Mohd Arifin yang juga Exco Agama negeri berkata, pelbagai bahan penerbitan, dokumen dan bahan promosi yang berkaitan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani dipamerkan dalam dewan sepanjang program berlangsung.
“Semua bahan berkaitan diambil tindakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Ajaran Ahmadiyah Qadiani difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 2006 serta diwartakan pada 2007.
“Justeru, umat Islam di negeri ini hendaklah berwaspada dan menjauhi sebarang bentuk penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan kesucian akidah Islam,” jelasnya.
Mohd Arifin turut merakamkan penghargaan kepada PDRM Sabah, khususnya IPD Kota Kinabalu atas kerjasama dalam memastikan kawalan keselamatan ketika operasi dijalankan dan bersama-sama membantu membanteras penyebaran ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam di Sabah.
“Kerajaan negeri melalui JHEAINS terus komited memperkukuh usaha pemantauan, penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan kesucian akidah umat Islam sentiasa terpelihara serta menjamin keharmonian masyarakat,” katanya.


