Rakan tempuh jalan sesak, tak sangka kemalangan maut libatkan sahabat karib

SEORANG pekerja kilang tidak menyangka kesesakan lalu lintas akibat kemalangan ditempuhinya adalah melibatkan nahas yang meragut nyawa rakan karibnya sendiri di Kampung Batu 7, Binjul, Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik, di Baling awal pagi tadi.

Nurul Syazwani Mohd Lazim, 30, berkata, ketika pulang kerja awal pagi tadi, dia ternampak kesesakan jalan raya, namun tidak menyangka ia berpunca daripada kemalangan yang meragut nyawa rakan baiknya itu.

GAMBAR kenangan Allahyarham Alina Mohd Shapri (dua dari kiri) bersama rakan-rakannya

Menurutnya, hubungan dia dan arwah Alina Mohd Shapri, 23, yang maut dalam kejadian itu sangat rapat serta bekerja di kilang sama di Kulim.

“Semalam, arwah mengadu sakit kepala dan macam nak demam, saya belikan ubat untuknya, tak sangka itu kali terakhir kami bersama,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Baling hari ini.

KERETA Perodua Myvi dipandu Allahyarham Alina Mohd Shapri yang terlibat kemalangan di Kuala Ketil, awal pagi tadi

Allahyarham Alina yang memandu Perodua Myvi terbabit kemalangan dengan kereta Proton Saga dan sebuah bas, menyebabkan dia dan pemandu kereta terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.

Nur Syazwani berkata, arwah Alina sangat ceria orangnya dan disenangi semua rakan sekerja, kami sering keluar makan, malah sering bersama-sama, tidak sangka hari ini kami kehilangannya buat selama-lamanya.

Media hari ini melaporkan, dua pemandu kereta maut dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta dan sebuah bas di Kampung Batu Tujuh, Binjul.

Sementara itu bapa Alina, Mohd Shapri Ahmad, 57, berkata, dia sering memikirkan mengenai anaknya itu sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, apa yang dirunsingkannya selama ini menjadi kenyataan apabila anak ketiga daripada lima beradik itu pergi buat selama-lamanya ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kulim.

“Alina biasanya memandu kereta ke tempat kerja jika hendak buat kerja lebih masa dan jika tidak, dia akan menaiki bas kilang.

“Dia keluar rumah sekitar jam 5.45 pagi tadi sebelum kemalangan berlaku kira-kira setengah jam kemudian,” katanya.

Mohd Shapri berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada malam tadi selepas Maghrib ketika pulang mengambil barang niaga di rumah.

“Saya reda dengan kejadian menimpa Alina dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tok Harun, Pulai selepas waktu Maghrib malam ini, ” katanya.

Sementara itu, adik kepada seorang lagi pemandu kereta yang turut maut dalam kemalangan itu, Muhammad Wafi Abu Nayan, 19, berkata, abangnya, Muhammad Muqri Abu Nayan, 26, seorang ustaz yang mengajar di Pondok Tahfiz Nadi, Kampung Lanai.

Katanya, abangnya baru berkahwin Disember tahun lalu dan semalam adalah kali terakhir mereka bertemu.

“Saya jumpa abang semalam ketika kami bersama-sama siapkan reban ayam, tetapi tak sangka hari ini dia sudah tiada,” katanya.

Jenazah Muhammad Muqri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Karangan, Kulim, selepas Asar tadi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img