SEORANG lelaki warga India ditahan polis selepas dipercayai berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang wanita di sebuah kedai kopi di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam ketika mangsa yang merupakan seorang pengurus syarikat berusia 31 tahun berjalan ke kedai berkenaan bersama rakannya.
Menurutnya, suspek pada mulanya menunjukkan isyarat jari tengah kepada mangsa sebelum wanita itu masuk ke dalam premis terbabit.
“Setelah mangsa dan rakannya masuk ke dalam kedai, suspek datang dan duduk bertentangan dengan mereka.
“Suspek kemudian mengenyitkan mata berulang kali sambil melakukan perbuatan tidak senonoh dalam keadaan mabuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hoo berkata, mangsa kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada kakitangan kedai sebelum dimaklumkan bahawa suspek merupakan pekerja di premis berkenaan.
“Pengurus kedai terbabit turut memohon maaf kepada mangsa berhubung kejadian itu.
“Bagaimanapun, wanita tersebut berasa terancam lalu membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan sebelum menahan suspek di sebuah kondominium di Brickfields semalam.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.


