SEORANG pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan mengedar 748.59 gram dadah jenis kanabis, tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Faris Ali, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 748.59 gram di Jalan 3/149J, Bandar Baru Seri Petaling, kira-kira jam 5 petang pada 23 Januari 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, dia boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi tujuan lantikan peguam.


