PENGUKUHAN daya tahan negara bukan sekadar memerlukan campur tangan kerajaan tetapi juga kerjasama awam yang lebih kukuh ketika gangguan bekalan global semakin berpanjangan dan kompleks.
Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK), Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata, ekonomi global berada dalam persekitaran bekalan yang agak stabil dan mencukupi sejak sekian lama, namun keadaan itu kini terganggu akibat ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.
“Dalam persekitaran ini, setiap penyesuaian amat penting, sama ada mengoptimumkan perjalanan, mengurangkan pembaziran elektrik dan bahan api, membina rantaian logistik yang lebih pintar, memaksimumkan pengangkutan awam, atau lebih berhemat dalam perbelanjaan isi rumah.
“Setiap peningkatan kecekapan membantu melindungi ekonomi kita daripada tekanan global berkenaan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.
PPPK yang berada di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bertanggungjawab menyelaras tindak balas kerajaan terhadap gangguan bekalan global yang dicetuskan oleh konflik di Asia Barat.
Mohd Hassan berkata, daya tahan bukan hanya sekadar mendapatkan lebih banyak bekalan, tetapi turut merangkumi kecekapan menggunakan sumber sedia ada, mengurangkan pembaziran serta menyesuaikan tabiat penggunaan mengikut keadaan semasa.
Apabila persaingan global terhadap sumber semakin sengit, pemuliharaan dan pengurusan sumber secara berhemat akan menjadi semakin penting bagi membantu negara menghadapi kejutan luaran.
Beliau berkata, rakyat perlu menyedari bahawa pilihan seharian boleh secara kolektif mempengaruhi keupayaan negara untuk mengharungi cabaran masa hadapan.
“Setiap liter penggunaan bahan api yang tidak perlu, setiap pembelian panik dan setiap bentuk pembaziran bakal menambah tekanan kepada sistem bekalan yang sudah tertekan.
“Pada peringkat isi rumah, pengurusan kewangan yang berhemat dan membuat penyesuaian adalah amat penting. Keluarga perlu mengutamakan perbelanjaan asas, meminimumkan pembaziran, mengurus hutang secara bertanggungjawab dan merancang kewangan dengan teliti,” katanya.
Mohd Hassan berkata, kecekapan tenaga juga memainkan peranan penting.
Langkah mudah seperti mengurangkan perjalanan yang tidak penting, meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api dan elektrik secara kolektif mampu mengurangkan tekanan terhadap belanjawan isi rumah dan sumber negara.
Beliau berkata, keperluan untuk menangani pembaziran makanan pada sepanjang rantaian bekalan juga memainkan peranan yang penting.
“Di Malaysia, sejumlah besar makanan masih didapati dibazirkan, termasuk makanan yang rosak atau melepasi tarikh luput sebelum ia sampai kepada pengguna.
“Dianggarkan kerugian pada peringkat pengedaran sahaja boleh mencecah kira-kira 10 peratus atau lebih, dengan lebih banyak pembaziran berlaku pada peringkat hiliran seperti premis runcit dan isi rumah,” katanya.
Beliau berkata, pada masa hadapan kerajaan akan terus memberikan keutamaan kepada daya tahan, bantuan bersasar, disiplin fiskal serta pengukuhan keupayaan strategik dalam bidang seperti tenaga, sekuriti makanan, logistik dan rantaian bekalan industri.
“Kita disokong oleh institusi yang kukuh, keupayaan tenaga domestik yang mantap, kepimpinan berpengalaman serta penyelarasan yang lancar antara industri dan kerajaan.
“Yang penting, kita telah mengharungi krisis besar sebelum ini, dan pengajaran daripada masa lampau telah mengukuhkan kapasiti tindak balas kita hari ini,” kata Mohd Hassan.


