POLIS sedang mengesan kumpulan jenayah curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) yang menggunakan tiga buah kereta jenis BMW di Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak TM berhubung kejadian itu selepas ia tular dalam media sosial.
“Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam 4.30 pagi. Seorang saksi yang sedang menjalankan kerja berkaitan topografi ternampak lima lelaki yang tidak dikenal pasti sedang menarik keluar kabel milik TM.
“Saksi menegur kumpulan berkenaan sebelum mereka melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menggunakan tiga kereta BMW, iaitu dua berwarna putih dan satu berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi mengesahkan pembabitan lima suspek lelaki yang menggunakan tiga kenderaan model BMW jenis sedan.
Katanya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan manakala jumlah kerugian oleh pihak TM dianggarkan kira-kira RM20,000 dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.






