2 lelaki direman tujuh hari, pukul warga asing, rosakkan kedai runcit

DUA lelaki berusia 21 dan 23 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul seorang warga asing dan merosakkan harta benda di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, Marang, malam semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, polis daerah Marang menerima laporan berhubung kejadian seorang lelaki warga asing dipukul sekumpulan lelaki tempatan pada jam 7.25 malam di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati insiden itu dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan beberapa individu tempatan sehingga mengakibatkan mangsa cedera serta berlaku kerosakan harta benda di premis berkenaan.

“Tindakan pantas orang awam yang melihat kejadian bersama pihak polis yang hadir ke lokasi berjaya mengawal keadaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan siasatan.

“Polis tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang sengaja melanggar peraturan,” katanya.

Mohd Khairi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhd Khairunnas Amir di talian 014-7258463 atau talian am 09-6182222.

Difahamkan, mangsa warga asing berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan di kepala, muka dan lengan dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img