Polis Sabah rampas syabu RM7.99 juta, 3 suspek ditahan

POLIS menahan dua lelaki dan seorang wanita bersama dadah jenis syabu seberat 159.8 kilogram (kg) bernilai RM7.99 juta dalam beberapa serbuan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu pada 22 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 18 hingga 49 tahun itu ditahan dalam Op Bayu 9 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 3.40 petang, polis menahan seorang lelaki yang sedang mengangkat sebuah kotak sebelum suspek cuba melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah di pusat bandar raya.

“Hasil pemeriksaan terhadap kotak berkenaan telah menemukan sembilan bungkusan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 9.10 kg.

“Hasil soal siasat lanjut terhadap suspek, pasukan serbuan telah membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Luyang dan telah menjumpai 64 bekas peket plastik lut sinar yang telah dikoyakkan, dipercayai digunakan untuk membungkus dadah,” katanya dalam sidang media di IPK Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Menurut Jauteh, polis kemudian menyerbu sebuah hotel di Kota Kinabalu dan menahan seorang lelaki dan wanita dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, serbuan susulan dijalankan berdasarkan maklumat dan pandu arah suspek membawa kepada penemuan 68 bungkusan syabu seberat 69.8 kg di sebuah pangsapuri di Inanam.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta yang diparkir di kawasan pangsapuri sama pula menemukan 79 lagi bungkusan syabu seberat 80.9 kg. Dadah itu disembunyikan di bahagian pintu penumpang, tempat duduk belakang dan ruang simpanan belakang kenderaan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui pelabuhan dengan menggunakan modus operandi menyembunyikan bahan terlarang itu di dalam kenderaan yang dibawa dari Semenanjung.

Beliau berkata, polis percaya sebahagian daripada dadah itu adalah untuk pasaran tempatan di Sabah, manakala selebihnya dipercayai akan diseludup ke luar negara.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. Polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dengan pengedaran dadah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img