SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika bermain di atas jalan di belakang sebuah sekolah di Kota, di Rembau petang tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dipercayai sedang bermain tanpa penjagaan sebelum dilanggar sebuah Perodua Aruz yang melalui lokasi tersebut.
“Kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian muka.
“Pegawai penyiasat trafik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya ketika dihubungi media malam ini.






