KEHADIRAN sepasang suami isteri menaiki Perodua Kancil di sebuah kawasan perumahan di Bandar Scientex, Jasin mencetuskan panik apabila disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah sehingga berlaku pertengkaran dengan penduduk sebelum kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, Balai Polis Merlimau menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.30 malam Selasa lalu sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba kira-kira 15 minit kemudian, polis mendapati beberapa penduduk sedang bertengkar dengan pasangan terbabit sebelum keadaan berjaya dikawal.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada salah faham selepas pasangan berkenaan disyaki melakukan aktiviti mencurigakan di kawasan perumahan itu.
“Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Merlimau bagi membantu siasatan dan mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata, siasatan mendapati pada jam 5.30 petang, 8 Jun lalu, seorang penduduk memaklumkan sebuah Perodua Kancil dinaiki seorang lelaki dan wanita Melayu datang ke rumahnya serta meminta penghuni membuka pintu.
Katanya, tindakan itu menimbulkan syak wasangka dalam kalangan penduduk yang bimbang kenderaan berkenaan mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah.
“Bagaimanapun, pasangan terbabit sebenarnya tersilap nombor rumah dan lorong ketika mencari alamat pelanggan mereka.
“Hasil semakan mendapati wanita itu bekerja sebagai bidan dan menjalankan perkhidmatan mengurut wanita selepas bersalin dari rumah ke rumah,” katanya.
Menurut beliau, kira-kira jam 8.20 malam hari sama, kenderaan berkenaan sekali lagi dilihat berada di kawasan tersebut sebelum dihampiri dua lelaki dan seorang wanita yang mahu mendapatkan penjelasan.
Katanya, ketika itu lelaki terbabit berada di dalam kereta manakala isterinya sedang memberikan perkhidmatan urutan kepada seorang wanita yang baru bersalin di sebuah rumah berhampiran.
“Keadaan bertukar tegang apabila berlaku pertengkaran mulut sehingga menarik perhatian penduduk setempat dan menyebabkan orang ramai berkumpul di lokasi kejadian,” katanya.
Lee berkata, selepas penjelasan diberikan di Balai Polis Merlimau, semua pihak memahami keadaan sebenar dan mengakui insiden itu berlaku akibat salah faham.
“Tiada sebarang unsur jenayah atau percubaan jenayah dikenal pasti dalam kes ini dan semua pihak yang terbabit sudah saling bermaafan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau bertindak melulu sekiranya berdepan situasi mencurigakan.
Sebaliknya, katanya, maklumat hendaklah disalurkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kekeliruan serta gangguan ketenteraman awam.






