Asap oren cetus kebimbangan, tangki bahan kimia bocor di kilang Pasir Gudang

SEBUAH tangki mengandungi bahan kimia di sebuah kilang di Jalan Keluli, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, dikesan mengalami kebocoran hari ini sehingga mencetuskan kebimbangan selepas rakaman asap berwarna oren tular di media sosial.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Faisal Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.59 pagi sebelum menggerakkan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) ke lokasi.

Beliau berkata, hasil maklumat yang diterima daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati kebocoran berlaku di sebuah kilang Wilgreen Recovery Sdn Bhd.

“Pemeriksaan mendapati sebuah tangki industri berkapasiti 200 liter mengalami kebocoran dan mengandungi bahan kimia jenis spent inorganic acid (SW206).

“Operasi pemantauan dijalankan bersama pihak JAS bagi memastikan keadaan berada dalam kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak kilang sudah mengambil tindakan awal dengan memindahkan sisa bahan kimia terbabit ke sistem scrubber bagi tujuan pengawalan dan mengurangkan risiko pencemaran.

Katanya, operasi di lokasi masih diteruskan dan pihak bomba turut memohon bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bagi menjalankan penilaian lanjut.

Sementara itu, Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.

Terdahulu, rakaman gambar dan video yang memaparkan asap berwarna oren di kawasan Perindustrian Pasir Gudang tular di platform Threads sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pekerja serta penduduk sekitar mengenai aspek keselamatan.

Bagaimanapun, setakat ini pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang amaran bahaya berkaitan kejadian itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img