POLIS membongkar operasi sindiket ‘call centre’ yang mendalangi kegiatan penipuan pelaburan pertukaran mata wang USDT (kripto) di sebuah premis di Batu Ferringhi, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan turut membawa kepada penahanan lima warga asing termasuk dua wanita berusia antara 24 hingga 46 tahun.
Katanya dalam kenyataan, semua suspek ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan itu bagi tujuan penipuan dengan menyasarkan mangsa dari negara China.
Beliau berkata hasil serbuan itu, polis merampas 10 telefon bimbit, komputer riba, papan kekunci, tetikus, monitor dan router diprcayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan.
“Semua tangkapan akan dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.






