SEPASANG suami isteri yang mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun dan seorang bayi berusia tiga bulan antara 149 individu yang didapati positif dadah dalam operasi Op Cegah Khas selama tiga hari di Pulau Pinang.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Mahadzir Elias berkata, kes berkenaan mencetuskan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyalahgunaan dadah dalam kalangan keluarga muda, khususnya mereka berusia antara 19 hingga 40 tahun.
“AADK bimbang kerana ramai yang terbabit berada dalam usia produktif dan mempunyai keluarga muda.
“Dalam satu kes, seorang lelaki berusia 35 tahun dan isterinya yang berusia 37 tahun ditahan dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun dan seorang bayi berusia tiga bulan,” katanya selepas tamat operasi tersebut yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir lewat malam tadi.
Menurut Mahadzir berkata, kedua-dua kanak-kanak berkenaan kini berada di bawah jagaan saudara terdekat.
Operasi selama tiga hari yang bermula pada 9 Jun itu meliputi semua lima daerah di Pulau Pinang iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan, daerah Timur Laut dan daerah Barat Daya.
Sebanyak 164 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, kegagalan mematuhi syarat jaminan serta pelanggaran perintah pengawasan. Daripada jumlah itu, 149 individu didapati positif dadah.
Mahadzir berkata, methamphetamine atau lebih dikenali sebagai syabu merupakan bahan paling banyak disalahgunakan, dengan 100 daripada individu positif didapati menggunakan dadah tersebut.
Beliau berkata, 35 individu didapati positif opiat manakala 18 lagi dikaitkan dengan penggunaan ganja, angka yang disifatkan agak tinggi berbanding operasi di lokasi lain sebelum ini.
“Terdapat juga satu kes membabitkan ketamin dan 10 kes penggunaan pelbagai jenis dadah gabungan seperti opiat dan methamphetamine, atau methamphetamine dan ganja,” katanya.
Kumpulan terbesar pengguna dadah yang dikesan ialah mereka berusia antara 19 hingga 40 tahun, melibatkan 77 individu atau 47 peratus daripada keseluruhan tahanan. Sembilan tahanan pula berusia melebihi 61 tahun.
Bagaimanapun, Mahadzir berkata tiada individu berusia bawah 18 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.
Mengikut pecahan daerah, Seberang Perai Utara merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 50 orang, diikuti daerah Barat Daya (36), Timur Laut (31), Seberang Perai Tengah (30) dan Seberang Perai Selatan (17).
Operasi berkenaan melibatkan 88 anggota AADK dan dijalankan berdasarkan aduan orang ramai serta maklumat risikan yang dikumpulkan oleh pegawai penguat kuasa.
Mahadzir berkata, objektif agensi itu bukan untuk menghukum pengguna dadah, sebaliknya membantu mereka menjalani rawatan dan pemulihan.
“Kami mahu mengeluarkan pengguna dadah daripada kitaran ketagihan dan membawa mereka kembali ke dalam masyarakat.
“Matlamatnya adalah mengurangkan permintaan kerana memutuskan bekalan semata-mata adalah amat sukar,” katanya.
Beliau turut menggesa individu yang bergelut dengan ketagihan dadah supaya mendapatkan rawatan secara sukarela di bawah pindaan undang-undang yang mula berkuat kuasa pada 22 Ogos tahun lalu.
“Mereka yang tampil secara sukarela tidak akan dikenakan tindakan undang-undang. Kami melihat peningkatan ketara dalam penyertaan secara sukarela, namun lebih banyak kesedaran masih diperlukan,” katanya.






