KOREA Selatan memulakan saingan Kumpulan A Piala Dunia dengan kemenangan apabila menewaskan Republik Czech 2-1 selepas berjaya bangkit daripada ketinggalan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Guadalajara, Mexico sebentar tadi.
Penyerang simpanan, Oh Hyeon-gyu menjadi pemisah apabila menjaringkan gol penentu kemenangan pada minit ke-80 sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh buat pasukannya.
Walaupun lebih banyak mengawal permainan dan mencipta beberapa peluang berbahaya, Korea Selatan berdepan kesukaran mencari jaringan awal dengan kapten mereka, Son Heung-min gagal memanfaatkan peluang yang diperoleh.
Republik Czech bagaimanapun mengejutkan lawan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-59 menerusi tandukan kemas ketua pasukan, Ladislav Krejci selepas menerima lontaran jauh ke dalam kotak penalti.
Namun, kegembiraan mereka hanya bertahan seketika apabila Hwang In-beom berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi penyudah bijak yang menewaskan penjaga gol lawan.
Pasukan Eropah itu hampir kembali mendahului pada minit ke-77 menerusi Tomas Soucek, namun tandukannya hasil sepakan percuma tidak dikira selepas pemeriksaan VAR mendapati berlaku ofsaid.
Korea Selatan kemudian memanfaatkan momentum yang dimiliki apabila In-beom sekali lagi menjadi arkitek serangan dengan hantaran rendah ke tengah yang disudahkan Hyeon-gyu dari jarak dekat untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
Hasil kemenangan itu, Korea Selatan mengutip tiga mata untuk berkongsi kedudukan teratas Kumpulan A bersama Mexico yang sebelum ini mencatat kemenangan 2-0 ke atas Afrika Selatan.
Dalam aksi seterusnya, Korea Selatan akan berdepan Mexico dalam perlawanan yang dijangka sengit di Guadalajara, manakala Republik Czech pula bakal menentang Afrika Selatan bagi memburu mata pertama kejohanan.






