SEORANG pemotong rumput yang positif morfin dipenjara dua tahun enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas tuduhan mencederakan anak lelaki dengan menumbuk mukanya hingga lebam.
Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 44 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang dibaca bersama Seksyen 31 (1) akta sama.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencederakan anak lelaki berusia 13 tahun dengan cara menumbuk muka hingga lebam dan perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah dalam daerah Tangkak, pada jam 11.30 malam, 8 Jun lalu.
Seksyen 31 (1) (a) memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Manakala Seksyen 31 (2) sebagai tambahan hukuman dalam sub Seksyen (1), mahkamah boleh memerintahkan seseorang menyempurnakan bon berkelakuan baik, melaksanakan khidmat masyarakat sehingga 240 jam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari tempoh perintah dikeluarkan.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian tertuduh bertengkar dengan isterinya selepas wanita terbabit enggan memberikan wang seperti yang diminta.
Pertengkaran itu tidak berakhir di situ malah bersambung pula pada malam hari sama hingga menyebabkan keadaan rumah menjadi bising.
Secara kebetulan mangsa bersama dua lagi adik beradik berada di rumah, cuba meleraikan sambil meminta ibu bapanya berhenti bertengkar.
Namun, tertuduh tidak berpuas hati dengan teguran itu lalu meluru ke arah mangsa dan menumbuk muka sebelah kanannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selepas mendengar rayuan dan hujahan pihak pendakwaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun.
Selain itu, tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM5,000 oleh seorang penjamin dan jika gagal, dikenakan hukuman penjara tambahan enam bulan.
Namun, tertuduh gagal membayar cagaran itu.






