DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, suara pemimpin agama kini semakin penting dalam usaha mempertahankan nilai kemanusiaan ketika dunia berdepan krisis moral yang semakin meruncing.
Menurut Perdana Menteri, masyarakat global kini menyaksikan pelbagai konflik dan ketidakadilan yang dianggap normal, termasuk peperangan, pembunuhan serta penderitaan rakyat awam di beberapa wilayah dunia.
Beliau berkata, keadaan itu menuntut pemimpin agama tampil memainkan peranan lebih aktif sebagai suara hati nurani yang mampu membawa mesej keamanan, kesederhanaan dan toleransi.
“Peranan pemimpin agama hari ini lebih relevan berbanding sebelum ini kerana dunia sedang berdepan krisis moral.
“Kita melihat peperangan, pembunuhan dan penindasan berlaku seolah-olah perkara biasa, sebab itu kita memerlukan suara moral yang mampu memberi tekanan kepada mereka yang mempunyai kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Ke-3 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, Malaysia membuktikan bahawa masyarakat berbilang agama dan kaum mampu hidup dalam suasana aman serta saling menghormati, meskipun dunia berdepan pelbagai cabaran geopolitik,
Keharmonian yang dinikmati negara hari ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dibina menerusi sikap saling memahami dan dialog berterusan antara penganut pelbagai agama.
Beliau menegaskan bahawa identiti Islam sebagai agama Persekutuan tidak menghalang usaha memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai kepercayaan.
“Kita boleh mempertahankan prinsip dan keyakinan agama masing-masing tanpa menafikan hak orang lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka, itulah kekuatan Malaysia yang perlu terus dipelihara,” ujarnya lagi.
Perdana Menteri turut menggesa agar dialog antara agama terus diperkasakan sebagai platform membina persefahaman, sekali gus menolak budaya kebencian dan perpecahan yang semakin menular di beberapa negara.






