KEBAKARAN longgokan sampah berhampiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak yang memasuki hari kedua hari ini berjaya dipadam 50 peratus.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 10.59 pagi semalam.
Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi selain dibantu keanggotaan dari Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta pejabat kesihatan.
“Kebakaran melibatkan longgokan sampah berkeluasan 100×100 kaki persegi (929.03 meter persegi) dan kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan.
“Laporan terkini pada jam 2.40 petang hari ini, sebanyak 50 peratus kebakaran berjaya dipadamkan menggunakan kaedah relay pumping,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, pasukan bomba turut mendapat bantuan sebuah unit excavator daripada MPS.
Kata beliau, operasi pemadaman baki lagi 50 peratus kawasan terjejas masih lagi dijalankan ketika ini.






