JURUCAKAP Kementerian Luar Iran, Esmail Baqaei berkata walaupun Iran telah bertindak secara bertanggungjawab dan angkatan tenteranya berusaha memastikan pelayaran yang selamat di Selat Hormuz, bagaimanapun
AMERIKA Syarikat (AS) telah menjadikan Selat Hormuz tidak selamat pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini melalui tindakannya.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baqaei berkata, Iran telah bertindak secara bertanggungjawab dan angkatan tentera negara itu berusaha memastikan pelayaran di selat itu selamat.
Bagaimanapun, Baqaei berkata, Markas Besar Angkatan Tentera Iran telah mengumumkan berdasarkan situasi yang diwujudkan oleh tindakan Amerika Syarikat, laluan selamat melalui Selat Hormuz pada masa ini adalah mustahil dan laluan perairan tersebut telah ditutup kepada semua kapal.
Beliau menambah bahawa punca tunggal kepada situasi ini ialah tindakan Amerika Syarikat yang menyalahi undang-undang dan bersifat agresif, khususnya serangan terhadap kemudahan Iran di wilayah selatan negara itu sejak beberapa malam yang lalu.
Sebagai contoh, Baqaei menyatakan tiga buah kapal India telah mengalami kerosakan dan beberapa kelasi India telah terkorban.
Beliau berkata insiden itu menunjukkan bahawa Amerika Syarikat, melalui tindakannya, telah menjejaskan pelayaran antarabangsa dan prinsip kebebasan perdagangan maritim.
Baqaei menegaskan bahawa angkatan tentera Iran telah mengeluarkan amaran yang diperlukan, menasihati kapal-kapal supaya berhati-hati kerana dalam keadaan semasa, keselamatan tidak dapat dijamin.
Sementara itu, beliau memberitahu Iran masih belum mencapai keputusan muktamad mengenai perjanjian untuk menamatkan perang dengan Amerika Syarikat.
Beliau menambah bahawa sepanjang 18 bulan lalu, pegawai-pegawai Iran telah menyaksikan pelbagai pendirian yang berbeza dan bercanggah daripada pegawai-pegawai Amerika Syarikat dalam banyak keadaan.
Menurut Baqaei, antara cabaran utama sepanjang proses diplomatik ialah pendekatan Washington yang tidak konsisten dan saling bercanggah.
Baqaei seterusnya berkata bahawa selain melancarkan serangan ketenteraan terhadap Republik Islam Iran sebanyak dua kali ketika rundingan masih berlangsung serta melakukan pelbagai jenayah, Amerika Syarikat dan rejim Israel juga berulang kali melanggar gencatan senjata sepanjang tempoh dua bulan ketika gencatan senjata itu secara rasmi berkuat kuasa.






