
ADA kalanya sesuatu berita membuatkan kita berhenti seketika dan bertanya, bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku kepada seorang kanak-kanak. Kes seorang murid perempuan berusia 12 tahun di Padang Besar, Perlis yang didakwa mengalami PTSD akibat dibuli bukan sekadar kisah disiplin sekolah, tetapi sebuah tragedi yang menyentuh hati masyarakat.
Pada usia sebegitu muda, seorang kanak-kanak sepatutnya sibuk belajar, bermain dan membina impian untuk masa depannya. Namun bagi mangsa, hari-hari yang sepatutnya dipenuhi gelak tawa bertukar menjadi pengalaman yang didakwa meninggalkan trauma sehingga menjejaskan kesihatan fizikal dan mentalnya.
Apa yang lebih menyedihkan, mangsa bukanlah pelajar bermasalah. Dia digambarkan sebagai seorang murid yang aktif, ceria dan mempunyai cita-cita besar untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Seperti ramai kanak-kanak lain, dia menyimpan harapan untuk mengubah masa depan melalui pendidikan.
Kini, impian itu seolah-olah semakin jauh. Akibat masalah kesihatan yang dialaminya, masa depan akademik yang pernah kelihatan cerah berada dalam keadaan tidak menentu. Tidak ada yang lebih menyedihkan daripada melihat seorang anak kecil terpaksa melupakan impian yang dibina sejak awal usia kerana tindakan orang lain.
Laporan yang didedahkan amat meruntun perasaan. Mangsa didakwa bukan sahaja dibuli secara fizikal, malah dipulaukan, dipaksa melakukan tugasan dan dihasut supaya dijauhi rakan-rakan lain. Bagi seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, layanan seperti itu boleh meninggalkan luka yang jauh lebih dalam daripada kesan yang terlihat pada tubuh badan.
Ramai orang dewasa mungkin menganggap ejekan atau pemulauan sebagai perkara biasa dalam alam persekolahan. Hakikatnya, bagi seorang kanak-kanak yang masih membentuk keyakinan diri dan emosi, perbuatan itu boleh menghancurkan rasa selamat yang sepatutnya mereka nikmati di sekolah.
Apabila seorang murid sehingga disahkan mengalami PTSD, ia menunjukkan bahawa apa yang berlaku bukan lagi sekadar konflik antara rakan sebaya. Ia adalah satu bentuk penderitaan yang memberi kesan kepada keseluruhan kehidupan mangsa. Ketakutan, keresahan dan trauma yang dialami boleh menghantui seseorang untuk tempoh yang sangat lama.
Lebih memilukan apabila mangsa dikatakan sering meracau, berhalusinasi dan menjerit kerana terbayangkan individu yang didakwa membulinya. Bayangkan seorang kanak-kanak yang sepatutnya lena tidur pada waktu malam, tetapi terpaksa hidup dengan ketakutan yang terus menghantui fikirannya.
Keadaan mangsa yang dilaporkan sukar berjalan dan perlu dipimpin juga memberi gambaran betapa seriusnya kesan yang sedang ditanggung. Daripada seorang kanak-kanak yang aktif bergerak dan belajar seperti biasa, kini setiap langkahnya menjadi satu cabaran.
Kes ini juga membuktikan bahawa buli dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya melibatkan kanak-kanak perempuan, tidak boleh lagi dianggap sebagai isu kecil. Dalam banyak keadaan, penderaan emosi dan pemulauan sosial meninggalkan kesan yang lebih lama berbanding kecederaan fizikal.
Masyarakat perlu bertanya mengapa kejadian seperti ini masih berlaku. Adakah kerana mangsa terlalu takut untuk bersuara? Adakah kerana aduan awal tidak diberikan perhatian sewajarnya? Atau adakah kita masih belum benar-benar memahami bahawa buli mampu merosakkan kehidupan seseorang kanak-kanak?.
Dalam masa yang sama, timbul juga persoalan yang sukar dielakkan. Keluarga mangsa mendakwa laporan polis telah dibuat sejak Februari, namun penjelasan rasmi hanya muncul selepas kes ini mendapat perhatian media. Walaupun siasatan telah dijalankan dan dirujuk kepada pihak pendakwaan, keadaan tersebut secara tidak langsung menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat mengenai tempoh masa yang diambil sebelum perkembangan kes diketahui umum.
Penderitaan yang ditanggung keluarga mangsa juga tidak boleh dipandang ringan. Dengan pendapatan yang terhad, ibu bapanya terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan, membeli peralatan sokongan dan melihat sendiri perubahan yang berlaku kepada anak yang mereka besarkan dengan penuh kasih sayang. Beban itu bukan sekadar kewangan, tetapi juga emosi yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Paling menyedihkan, mangsa baru berusia 12 tahun. Pada umur itu, seorang anak sepatutnya sedang menghitung hari untuk mengejar cita-cita, bukannya menghitung jumlah ubat yang perlu dimakan setiap hari. Dia sepatutnya memikirkan peperiksaan dan masa depan, bukannya berjuang untuk mengatasi trauma yang tidak sepatutnya wujud dalam hidupnya.
Semoga kes ini menjadi titik kesedaran kepada semua pihak bahawa buli bukan isu remeh. Di sebalik setiap laporan dan statistik, ada seorang anak yang menangis, ada keluarga yang menderita dan ada impian yang mungkin musnah. Jika benar pendidikan adalah jalan membina masa depan negara, maka setiap sekolah mesti menjadi tempat yang paling selamat untuk seorang kanak-kanak, bukannya tempat yang meninggalkan luka sepanjang hayat. Semoga `kakak’ kembali pulih.






