Menanti isyarat dan kejutan di Konvensyen RESET di Tanah Merah

SEMALAM ketika tumpuan politik negara kepada  pengumuman tarikh pilihan raya negeri (PRN) bagi Johor dan Negeri Sembilan, tersebarnya poster Konvensyen RESET Malaysia di Tanah Merah, Kelantan lebih menarik perhatian.

Pertamanya, konvensyen itu akan diadakan  di Tanah Merah yang Ahli Parlimennya ialah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.  Beliau mendakwa digantung keahlian oleh Bersatu kerana didapati menghadiri majlis Aidilfitri anjuran Datuk Seri  Hamzah Zainuddin.

Kedua, RESET dilancarkan oleh Hamzah selepas beliau dipecat daripada Bersatu. Walaupun masih Ahli Parlimen Larut dan ramai tertanya-tanya ke mana hala politik beliau, Hamzah hanya mendiamkan diri.

Disebabkan sikap diam beliau itu, seorang pemimpin kanan Bersatu dalam satu ceramah menyindir bekas Menteri Dalam Negeri itu kerana tidak ada parti berbanding Datuk Seri Rafizi Ramli yang sudah mengambil alih parti Bersama.

Hamzah tidak melatah walaupun dari semasa ke semasa pemimpin Bersatu terus menyerang beliau. Dan hari ini, kelompok itu yang terlalu teruja mahu mengetahui langkah politik Hamzah akan mendapat isyarat awal dan ‘kejutan’.

Isyarat pertama ialah Hamzah akan memaklumkan apakah hala tuju politik beliau? Isyarat kedua, Pas akan bersama Hamzah apabila konvensyen itu akan dirasmikan oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan isyarat ketiga Bersatu tidak ada kawan dalam Perikatan Nasional (PN).

 

Selain itu penulis difahamkan, Abdul Hadi dijangka membuat satu pengumuman ada kaitan dengan PN yang sekaligus, kalaupun tidak mengejutkan, cukup membuatkan Bersatu tidur tak lena. Apakah pengumuman itu, adakah ia satu kejutan, apakah ia satu perancangan atau mungkin tiada pengumuman? Tunggu sahaja.

Tetapi apa yang pasti Konvensyen RESET ini akan menjadi medan yang betul-betul akan ‘meRESETkan’ hubungan Pas dan Bersatu. Malah RESET ini juga akan membuktikan kepada pemimpin Bersatu bahawa Pas tidak buta dan tidak pekak dalam meniti perjalanan politiknya.

Untuk Hamzah pula, RESET ibarat laluan menuju platform politik barunya selepas dipecat daripada Bersatu. Difahamkan beliau tidak akan keseorangan ramai ahli Parlimen pembangkang termasuklah yang telah dipecat dan digantung oleh parti itu akan bersama beliau.

Pada masa sama, dalam bulan ini juga akan berlaku ‘perubahan wajah’ banyak bahagian-bahagian parti tertentu selepas RESET dilancarkan…parti mana terlibat? Sabarlah menanti.

Bersatu sudah boleh melangkah untuk mewujudkan gabungan politik baru. Mungkin bersama Ikatan Prihatin Rakyat (IPR)  memandangkan di dalam IPR ada gabungan pelbagai parti. Kalaupun Pas  tidak lagi bersama, namun IPR masih kukuh.

Apatah lagi Bersatu beruntung kerana mereka ada bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Besar dan  bekas Menteri Kabinet serta bekas pegawai kanan kerajaan sebelum Barisan Nasional (BN) hilang kuasa menerajui kerajaan pusat.

Dengan gabungan ini sudah pastilah kehadiran Hamzah melalui RESET  tidak akan mendatangkan ancaman kepada Bersatu. Kalau Hamzah boleh menjadi ancaman jika berada di luar Bersatu, sudah pasti Bersatu tidak akan memecat beliau…betul tak?

Apapun anggaplah RESET satu lagi usaha memeriahkan demokrasi di negara ini. Tak kiralah RESET mahupun Bersatu, tidak perlu kecam mengecam antara sama lain kerana  ‘barang yang lepas jangan dikenang’ bersamalah ‘pelihara akhlak Islam’.

Pastinya RESET ada kekuatan, Bersatu pun ada kekuatan…biarlah rakyat khususnya orang Melayu tentukan dalam pilihan raya nanti.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img