DI hadapan lebih 20,000 orang yang menghadiri Konvensyen RESET di Tanah Merah, Ahli Parlimen kawasan itu daripada Bersatu Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz dengan suara lantang menggesa kepimpinan parti itu memecat Ahli Parlimennya yang digantung atau diberi amaran.
Ikmal Hisham yang digantung keahlian oleh Bersatu pada 8 Mei lalu berkata, mereka tidak mahu digantung atau diberi amaran sebaliknya rela dipecat oleh parti tersebut.
‘’Kami tak kisah,kami tak mahu digantung, kami tak mahu diberi amaran, kami mahu dipecat,’’ tegasnya.
Dalam konvensyen itu beberapa ahli Parlimen Bersatu yang dikenakan tindakan tersebut turut hadir.
Mereka yang digantung ialah Datuk Seri Dr.Ronald Kandee, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Lumut Komander (B) Nordin Ahmad Ismail, Ahli Parlimen Rompin Datuk Abdul Khalib Abdullah dan Ahli Parlimen Ketereh Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor.

Ahli Parlimen Bersatu yang menerima amaran, Ahli Parlimen Sabak Bernam Kalam Salan, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bahru Roslan Hashim dan Ahli Parlimen Kangar Zakri Hassan.
Mengenai konvensyen , Ikmal Hisham berkata, jumlah kehadiran yang ramai membuktikan rakyat masih mahu melihat usaha penyatuan yang mampu membawa kestabilan dan masa depan lebih baik kepada negara.
“Konvensyen hari ini akan menjadi satu catatan sejarah. Kehadiran peserta dari seluruh negara menunjukkan rakyat menyambut baik usaha penyatuan yang sedang digerakkan.
“Kami hadir bukan untuk bermusuh dengan sesiapa dan bukan juga untuk menyerang mana-mana pihak. Sebaliknya, kami berkumpul di sini bagi mengorak langkah ke arah penyatuan umat serta memperkukuhkan kesatuan orang Melayu dan Islam,” katanya.
Beliau berkata, usaha penyatuan tersebut tidak bermaksud mengenepikan kaum lain, sebaliknya bertujuan memastikan Malaysia terus kekal harmoni melalui semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Kami mahu memastikan negara ini terus aman dan harmoni. Pada masa sama, hubungan antara kaum perlu terus diperkukuhkan berasaskan rasa hormat dan persefahaman,” katanya.
Konvensyen itu dirasmikan oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Gerakan RESET, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Turut hadir Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pesuruhjaya Pas Kelantan Datuk Ahmad Yaacob.






