POLIS mengesahkan mayat dua lelaki yang ditemukan lemas di Titi Taman Persisiran Jeragan di Sungai Kedah hari ini adalah individu yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, lelaki pertama dikenali sebagai Saw Chee Wan, 16, yang dipercayai keluar dari rumahnya kelmarin.
Beliau berkata, pengecaman mayat lelaki itu dilakukan oleh ahli keluarganya berdasarkan loket rantai yang dipakai remaja berkenaan.
“Berdasarkan keterangan ahli keluarganya, remaja lelaki itu adalah orang kurang upaya (OKU) lembam dan disedari hilang dari rumahnya di Kampung Seberang Perak yang terletak kira-kira dua meter dari lokasi,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Syed Basri berkata, polis dimaklumkan bahawa mayat remaja itu ditemukan petugas pembersihan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) pada jam 9 pagi.
“Mangsa ditemukan tersangkut pada pokok berhampiran di Taman Persisiran Jeragan, Ampang Jajar dan pihak bomba turut membantu mengangkat mangsa ke tebing,” katanya.
Syed Basri berkata, mayat kedua pula ialah lelaki mualaf, Muhammad Amin atau N Thiagarah, 46, yang beralamat di Tanjung Bendahara, Alor Setar dan turut dilaporkan hilang pada hari sama iaitu 12 Jun lalu. Hasil siasatan mendapati lelaki itu adalah pesakit psikiatri.
Beliau berkata, kedua-dua mayat ditemukan pada jarak kira-kira 100 meter antara satu sama lain, namun siasatan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang kaitan.
Katanya, pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang tiba di lokasi kejadian menjalankan pemeriksaan dan tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat kedua-dua lelaki berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Syed Basri berkata, sebuah motosikal yang ditemukan tidak jauh dari lokasi adalah milik lelaki mualaf berkenaan, seperti disahkan oleh adiknya.
Media sebelum ini melaporkan mayat dua lelaki masing-masing berusia 16 dan 46 tahun ditemukan di Sungai Kedah berhampiran Titi Taman Pesisiran Jeragan, Alor Setar pagi ini.






