Mencari calon wakil rakyat di Pasir Salak

KERUSI Parlimen Pasir Salak (P073) mula diwujudkan melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 1984 dan pertama kali dipertandingkan pada pilihan raya umum (PRU) tahun 1986.

Bermula dari tahun itu sehingga ke hari ini, saya menyaksikan pelbagai kisah perjalanan politik di kawasan berkenaan.Tambahan pula rumah arwah bapa saya turut menjadi ‘port orang politik’terutamanya sekitar tahun 80an hingga 90an.

Wajah-wajah tokoh yang pernah saya saksikan adalah seperti Tun Ramli Ngah Talib, bekas Menteri Besar Perak (Kini TYT Pulau Pinang), Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob (bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Seri Nazri Abdul Rahim (bekas Exco dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak), Datuk Mohd Yusoff Maidin (bekas ADUN Sungai Manik) dan ramai lagi.

Kadangkala rumah saya bagaikan ada pesta dan kenduri terutama ketika musim durian kerana  dikunjungi ramai tetamu politik. Mereka membawa pelbagai kisah menarik dan ada yang melucukan.

Penulis (dua dari kanan) bergambar bersama Tun Ramli Ngah Talib ketika Menteri Besar Perak itu berkunjung ke rumah penulis sekitar tahun 1985.

Dari kisah perebutan pemilihan Ketua Pemuda UMNO Pasir Salak antara Cikgu Mat Yahya dan Tajuddin Abdul Rahman (pertengahan 80an), hinggalah era Shafie dan Ayub serta terakhir kisah Azwan Haron.

Paling menarik apabila tercetusnya kumpulan Tajuddin mencabar kumpulan Ramli sehingga wujud gelaran ‘The Six Million Dollar Man’.

Paling saya tidak lupa ialah ketika pertarungan merebut jawatan Ketua Pemuda Pasir Salak melibatkan Datuk Zainol Fadzi Paharudin. Beliau menang bergaya melalui strategi seorang veteran UMNO sehingga menyebabkan  salah seorang lawannya ‘tergolek’ awal. Biarlah saya rahsiakan strategi itu walaupun saya tahu dan menyaksikan peristiwa kelakar tersebut.

Kerusi Parlimen Pasir Salak pada masa ini dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN) yang diwakili oleh Pas apabila dalam PRU-15 calon gabungan itu, Jamaludin Yahya menang dengan majoriti undi 5,003 undi.

Beliau yang memperolehi 24,893 undi mengalahkan tiga calon lain daripada Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Pejuang.

 Ketika ini  UMNO sedang  berusaha merampas kembali kerusi-kerusi keramat di Pasir Salak. Selain kerusi Parlimen, parti itu mahu menguasai semula dua kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut iaitu Sungai Manik dan Kampung Gajah yang turut dikuasai oleh PN.

DUN Sungai Manik, PN yang diwakili oleh Bersatu menguasai kerusi itu selepas   Zainol Fadzi menang dengan majoriti 3,950 undi mengalahkan calon PH dan BN. Beliau mendapat 11,610 undi.

Bagi DUN Kampung Gajah,  calon Pas yang mewakili PN, Zafarulazhan Zan menang dengan majoriti 3,757 undi mengalahkan calon BN,PH dan Pejuang. Beliau memperolehi 15,634 undi.

Untuk melaksanakan misi BN itu, beberapa nama disebut-sebut boleh menjadi calon seperti Ramele Ashram Tun Ramli, Azwan Haron (Azwan Bro), Datin Sri Rahayu Tajuddin dan Mohamad Nazari Sabran. Kecuali Nazari, yang lain adalah anak bekas pemimpin-pemimpin UMNO Pasir Salak.

Manakala bagi Pakatan Harapan pula, ada cakap-cakap Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Datuk Mustaffa Kamil Ayub   akan menjadi calon pakatan itu untuk kerusi  Parlimen Pasir Salak.

Kesempatan bertemu pelbagai tokoh, pemimpin masyarakat dan rakyat membolehkan saya mengetahui serba sedikit kecenderungan sokongan mereka untuk pilihan raya akan datang.

Parlimen Pasir Salak mempunyai 74,676 orang pengundi berdaftar. Daripada jumlah itu 50 peratus adalah  pengundi bawah umur 40 tahun.

Trend pengundi hari ini, khususnya golongan muda kadangkala sukar untuk diramalkan. Bagaimanapun berdasarkan  maklumat saya perolehi di lapangan, saya dapat merumuskan trend sokongan, isu dan kriteria calon yang boleh menjadi penentu kemenangan atau kekalahan sesebuah parti.

Namun secara peribadi, kadang-kadang saya menguji sikap, gaya dan watak calon semua parti dan wakil rakyat sedia ada untuk bekerjasama khasnya dalam urusan membantu keperluan masyarakat Pasir Salak.

Tanpa bersikap berat sebelah, ikhlas saya katakan bahawa saya merasakan kelebihan Ramelle Ashram kerana peribadinya yang bersahaja, mesra rakyat dan bersungguh-sungguh membantu masyarakat apabila diperlukan.

Mustaffa Kamil pula sebagai Pengerusi INSKEN, beliau menyokong usaha saya dalam membangunkan usahawan di seluruh negara.

Keadaan ini berbeza dengan individu yang lain, usahkan menyelesaikan masalah rakyat, mesej saya pun tidak dijawab. Nak berjumpa jauh sekali. Lebih teruk lagi bila orang keliling ‘lebih sudu dari kuah’.

Faktor orang keliling ini jugalah yang menjadi salah satu punca kekalahan BN pada PRU-15.  Kadangkala masyarakat meluat dengan gaya tidak mesra dan orang keliling yang sesetengahnya umpama samseng pun ada. Orang bukan sahaja benci, malah geram dan marah.

Insha-Allah, mana-mana calon yang mesra rakyat, merendah diri (humble), menampakkan hasil kerja (bukan retorik) dan mempunyai wawasan yang boleh diterjemahkan kepada pembangunan masyarakat, pasti akan menang dalam pilihan raya akan datang.

Sebagai anak jati Parlimen Pasir Salak, saya hanya mahu menyaksikan kawasan itu terus membangun dan menjadi model di dalam dan luar negara. Dalam kapasiti peribadi, saya konsisten melakukannya walaupun kadang-kadang sangat meletihkan.

Cuma jangan fikir orang seperti kami yang dianggap bagaikan ‘The Mission Impossible Man’ tiada seni macam orang politik. Bak kata seorang veteran politik berusia hampir 90 tahun dari Perak  kepada saya:

“Orang berpengalaman yang berada di luar gelanggang, kadangkala lebih pakar mencaturkan sesuatu. Nak bagi naik pun boleh, nak jadikan tertonggeng pun boleh !” – WallahuAlam.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img