KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesahkan tiada unsur penipuan dikesan dalam promosi ‘durian percuma’ yang diiklankan sebuah premis di Bulatan Cempaka, Kota Bharu.
Isu berkenaan sebelum ini tular di media sosial selepas orang ramai mendakwa promosi dipaparkan pada papan iklan premis itu boleh mengelirukan pengguna.
Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pemeriksaan dijalankan susulan aduan diterima berhubung dakwaan berkenaan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati tanda harga yang dipamerkan adalah jelas selain harga dikenakan kepada pengguna juga selaras dengan maklumat dipaparkan di premis.
“Semakan ke atas alat timbang yang digunakan turut mendapati peralatan berkenaan masih sah diperakukan dan mempunyai tempoh pengesahan sehingga 2 Jun tahun depan.
“Hasil siasatan juga mendapati pelanggan sememangnya dibenarkan menikmati atau merasai durian di premis secara percuma tanpa dikenakan bayaran,” katanya.
Beliau berkata, pihak premis turut mengambil tindakan segera dengan memperjelaskan mesej pada papan iklan yang memaparkan kenyataan ‘durian percuma jika rasa di sini sahaja, untuk isteri rasa di rumah kena bayar’.
Katanya, walaupun tiada pelanggaran dikesan, KPDN tetap memberikan peringatan dan amaran kepada pengusaha supaya memastikan sebarang bentuk promosi tidak menimbulkan kekeliruan atau memanipulasi pengguna.
“Premis juga diingatkan supaya sentiasa mengemas kini tanda harga dan memastikan maklumat dipamerkan jelas, tepat serta mudah difahami bagi setiap barang yang dijual,” katanya.






