SEBANYAK RM650 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif yang dilaksanakan dalam dua fasa itu bertujuan memperkukuh ketersambungan digital di hospital dan klinik kesihatan seluruh negara sekali gus menambahbaik perkhidmatan kesihatan di fasiliti kerajaan.
“Fasa pertama, anggaran kosnya adalah RM74 juta, manakala keseluruhan bernilai RM650 juta. Pada waktu ini, pihak MCMC akan menguruskan dana melalui Universal Service Provision Fund itu di pihak Kementerian Komunikasi dan bagi pihak MCMC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pelaksanaan Inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, pihaknya menjangkakan usaha itu dapat diselesaikan menjelang suku pertama tahun 2027.
“Kalau yang memerlukan, kami mahu seluruhnya klinik-klinik kesihatan kami diliputi dengan capaian ini. Ini hanya mampu dilakukan ketika dana itu dibekalkan oleh MCMC.
“Sejauh ini kita telah meliputi secara tepatnya 500 klinik kesihatan daripada seluruhnya 3,000 lebih klinik kesihatan kami. Kita akan ‘scale up’, kita akan ‘ramp up’, kita akan lakukan seluruhnya di seluruh negara,” katanya.






