JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membongkar empat sindiket pusat panggilan yang dipercayai terbabit dalam pelbagai aktiviti penipuan menerusi beberapa siri serbuan di sekitar negeri ini bermula 8 hingga 10 Jun lalu.
Operasi dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, IPD Serdang dan IPD Shah Alam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan dilakukan ke atas beberapa premis kediaman yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket.
Menurut beliau, seramai 41 individu termasuk 11 wanita warga asing berusia antara 18 hingga 48 tahun berjaya ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, semua yang ditahan dipercayai berperanan sebagai operator dalam sindiket berkenaan.
“Sindiket ini dipercayai terbabit dengan aktiviti penipuan dalam talian melibatkan tawaran pekerjaan palsu, pelaburan tidak wujud, love scam termasuk penawaran perkhidmatan seks yang tidak wujud.
“Dalam empat operasi berkenaan, polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya telefon bimbit, komputer riba, router, modem serta wang tunai dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM409,200,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini.
Mengulas lanjut, Shazeli berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mula beroperasi antara Januari hingga April lalu.
Menurutnya, kumpulan itu dipercayai menyasarkan mangsa dari negara luar termasuk Eropah, Amerika Syarikat dan China.
“Hasil siasatan juga mendapati kesemua tangkapan dipercayai warga sebuah negara di Asia Timur dan kita masih menjalankan semakan silang bersama Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengenal pasti status serta tarikh kemasukan mereka ke negara ini.
“Keempat-empat sindiket ini tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan usaha mengesan dalang utama masih diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah.






