Anggota maut Kem Hobart : Jenazah Koperal Norazmi selamat dikebumikan

SUASANA hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Busyra, Sungai Petani, apabila Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, yang maut dalam insiden letupan semasa latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun semalam, selamat dikebumikan awal pagi tadi.

Jenazah anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu dibawa pulang ke kampung halamannya sebaik selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Lebih 300 individu terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, penduduk setempat serta rakan setugas hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham sebelum dikebumikan kira-kira jam 5.25 pagi.

Suasana menjadi lebih pilu apabila Jalur Gemilang diserahkan Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Fouzi Sulaiman kepada balu Allahyarham, Siti Fairuz Mohd Yusof, 38, sebagai simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan arwah kepada negara.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri serta dua anak berusia 13 dan lapan tahun.

Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan berlaku insiden ketika pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart, Gurun kira-kira jam 10.57 pagi semalam.

Kejadian itu menyebabkan Norazmi dan seorang lagi anggota, Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), mengalami kecederaan akibat letupan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Jenazah Siti Khadijah kemudiannya dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor untuk urusan pengebumian.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img