SEORANG jurujual mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas pertuduhan menetak seorang penunggang motosikal sehingga cedera parah dalam kejadian di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, minggu lalu.
Tertuduh, Azmi Jantan, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.
Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 45 tahun menggunakan sebilah pisau pemotong daging yang boleh menyebabkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, kira-kira jam 8.19 pagi pada 11 Jun lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ho Zee Xing memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000.
Mahkamah kemudian membenarkan Azmi diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan fakta kes dan jatuh hukum.
Sebelum ini, media melaporkan seorang penunggang motosikal cedera selepas ditetak oleh penunggang lain ketika melalui laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan di Seksyen 13.
Siasatan polis mendapati mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur dipercayai membunyikan hon kepada suspek kerana menghalang laluannya.
Tindakan itu dikatakan menyebabkan suspek berang sebelum berhenti di tepi jalan dan bertindak menetak mangsa menggunakan pisau pemotong daging.






