KEGIATAN seorang lelaki tempatan yang dipercayai aktif memecah masuk premis perniagaan di beberapa lokasi sekitar bandar Miri sejak pertengahan Mei lalu akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis dalam serbuan di kawasan perumahan Pujut 2, minggu lalu.
Suspek berusia 30 tahun itu diberkas sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ), Balai Polis Pusat Miri pada 10 Jun lalu kira-kira jam 7 malam hasil risikan dan maklumat dikumpul di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, sebelum tangkapan dilakukan, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerima beberapa laporan berkaitan siri pecah masuk membabitkan premis perniagaan di bandar berkenaan.
Menurutnya, operasi menahan suspek diketuai Ketua Balai Polis Pusat Miri, ASP Goldy Anak Jangan.
“Hasil siasatan lanjut terhadap suspek membawa kepada penemuan pakaian dan aksesori diri yang dipakai ketika melakukan jenayah secara bersendirian.
“Polis turut merampas satu unit gergaji kecil yang telah diubah suai dan dipercayai digunakan untuk membuka secara paksa kunci pintu jenis roller shutter premis-premis yang menjadi sasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah masuk premis perniagaan yang dipercayai menggunakan modus operandi sama.
Katanya, kejadian membabitkan premis di kawasan Airport Commercial Centre, Assar Commercial Miri By Pass, Mosjaya, Permyjaya dan Boulevard Miri dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan sekitar RM15,000.
Menurutnya, siasatan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan narkotik di daerah Miri dan daerah lain.
“Keputusan ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif,” katanya.
Suspek kini berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi setiap kesalahan yang dilakukan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda.
Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, tertuduh juga boleh dikenakan hukuman sebatan.
Mohd Farhan berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti jenayah dan akan memastikan individu yang ditangkap dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan masyarakat serta melindungi harta benda awam di daerah ini.






