Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki yang juga kekasih kepada bekas teman wanitanya dalam kejadian di Jalan Trans Perak, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohammad Farizzal Fazly Mohd Zulkifly, 30, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Muhammad Fahmi Abdullah, 29, di tepi jalan utama Jalan Trans Perak, dalam daerah Perak Tengah antara jam 4.30 pagi hingga 5.49 pagi pada 10 Jun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Jagdeep Singh Jaswant Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan di Terminal Bas Perlis Sentral, Kangar kira-kira jam 3.45 petang pada 11 Jun lalu selepas dipercayai terbabit dalam kejadian tikam sehingga menyebabkan kematian mangsa di Kilometer 12, Jalan Trans Perak berhampiran Kampung Gajah, Pasir Salak.
Siasatan awal polis mendapati sebelum kejadian, suspek dipercayai bertemu bekas teman wanitanya yang berusia 25 tahun bagi membincangkan masalah hubungan mereka kira-kira jam 9 pagi 9 Jun lalu.
Difahamkan, berlaku pertengkaran sebelum mangsa mengalami kecederaan dan sempat dibawa ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.






