
SEPANJANG berada dalam Perikatan Nasional (PN), Bersatu dianggap hanya menumpang kekuatan Pas.Bersatu dikatakan tidak ada jentera pilihan raya dan Bersatu juga sering mendakwa mereka mempunyai calon Perdana Menteri berbanding Pas.
Malah pemimpin Bersatu juga selama ini mendakwa demi keutuhan dan keharmonian parti maka tindakan ‘pembersihan’ terpaksa dilakukan dengan menggantung atau memecat pemimpin yang bersekongkol dengan Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Oleh itu apabila Pas membuat keputusan memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar menamatkan perkhidmatan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin sebagai Ketua Pilihan Raya dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Setiausaha Agung, Bersatu sepatutnya menerima keputusan itu dengan terbuka.
Tidak perlu membuat tuduhan bahawa Pas bersikap ‘kuku besi’ berikutan penamatan perkhidmatan Dr.Radzi dan Mohamed Azmin sebaliknya menganggap apa yang berlaku satu rahmat khususnya dalam soal terputusnya kerjasama politik antara dua parti.
Inilah masanya untuk Bersatu membuktikan kewibawaan pemimpin-pemimpin dan kekuatan jentera parti itu.Lagipun Bersatu sudah tidak ada gangguan lagi memandangkan Hamzah dan kawan-kawannya sudah dikenakan tindakan. Ahli Parlimenpun ramai yang dipecat atau digantung.
Jadi sudah tentulah Bersatu kini sudah aman, mantap dan kukuh untuk menghadapi pilihan raya, bukannya membuang masa merintih atau memburuk-burukkan Pas.
Inilah masanya untuk tunjukkan kenapa Bersatu begitu beria-ia mahukan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon Perdana Menteri. Inilah masanya untuk buktikan kehebatan Mohamed Azmin, Dr.Radzi, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Tun Faisal Ismail Aziz.
Keempat-empat pemimpin diihat begitu berwibawa berjuang bersama Muhyiddin. Oleh itu penulis percaya mereka akan berkemampuan membuktikan kepada Pas bahawa Bersatu mampu berdikari dan mempunyai kekuatan tersendiri.
Lagipun Muhyiddin sudah kata, Bersatu ‘tidak takut’ melawan Pas dalam pilihan raya, jadi tidak payahlah pemimpin Bersatu dok serang Pas.’Barang yang dilepas jangan dikenang’ sebab ‘akhlak Islam harus dipelihara demi ukhuwah sesama ummah’…betul tak?
Inilah saat terbaik untuk Bersatu memaparkan kepada rakyat bahawa sokongan yang mereka terima selama ini adalah ‘sokongan tulen’ kepada Bersatu, inilah ketikanya untuk Bersatu tunjukkan kepada pihak tertentu ‘jangan pekak dan buta’ untuk melihat kekuatan yang ada kepada jentera pilihan raya parti itu.
Justeru jangan buang masa lagi bercakap soal Pas. Tak kanlah pemimpin mahu menggantikan gangguan ‘mimpin Hamzah’ sebelum ini kepada ‘igauan terhadap Pas’ pula? Kalau macam tu bila masa Bersatu hendak tumpu kepada PRN khususnya di Johor.
Johor itu negeri ‘bapak Presiden’ Bersatu. Tunjuklah kekuatan dengan bertanding secara solo tanpa bantuan Pas, Bersatu boleh menang banyak kerusi. Jadikan pelancaran Jentera Ahad ini di Muar ibarat ‘hijrah’ baru kepada parti itu untuk mencapai kejayaan.






