Dua anggota tentera didakwa seludup 3 migran Myanmar

Dua anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini, atas pertuduhan menyeludup tiga warga Myanmar melalui sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Zulhilmi Aqwa A Rahman, 34, dan Mohamad Johan Iskandar Shah Jeffry Pidin, 26, bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sharmila Abd Samad kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zulhilmi didakwa menggunakan sebuah kereta untuk menyeludup dua warga Myanmar masing-masing berusia 29 dan 19 tahun.

Mohamad Johan pula didakwa menggunakan kereta jenis Perodua Bezza bagi mengangkut seorang lagi migran warga Myanmar berusia 61 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Check Point Foxtrot, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada jam 7.13 petang, 22 Mei lalu.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfatin Mastura Asri. Mohd Zulhilmi diwakili peguam Datuk Shanmugam Ganesan manakala Mohamad Johan tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memaklumkan tiada tawaran ikat jamin diberikan kepada kedua-dua tertuduh memandangkan pertuduhan yang dikenakan berada di bawah peruntukan akta berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen berkaitan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img