JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan 640 penajaan kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai usaha berterusan memperkukuh pembangunan bakat negara selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Menurut jabatan itu, tawaran tersebut bertujuan memastikan pelajar cemerlang negara terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti di institusi pengajian tinggi terkemuka dalam dan luar negara.
Katanya, inisiatif itu juga sebahagian daripada usaha berterusan JPA membangunkan bakat negara dalam bidang strategik dan kritikal bagi menyokong agenda pembangunan nasional.
Bagi tahun ini, kata JPA, sebanyak 30 tempat ditawarkan menerusi Program Penajaan Nasional (PPN), Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (LSPM) sebanyak 200 slot, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) sebanyak 140 slot serta Program Khas JPA-MARA (PKJM) membabitkan 270 slot.
“Penajaan itu merangkumi pelbagai bidang strategik dan kritikal termasuk kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial.
“Melalui program ini, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan terkemuka di dalam dan luar negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea, Perancis, Jerman, United Kingdom dan New Zealand, selain institusi pengajian tinggi tempatan,” kata JPA dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
JPA memberitahu, calon yang sudah mengemukakan permohonan boleh membuat semakan keputusan penajaan secara dalam talian mulai hari ini jam 10 pagi ini hingga 22 Jun ini, jam 5 petang melalui sistem yang disediakan oleh jabatan itu.
Semua pelajar yang berjaya akan menerima penajaan di bawah Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBUA) yang diperkenalkan JPA pada Jun tahun lalu.
“Pelaksanaan PBUA mencerminkan komitmen JPA dalam mengiktiraf kecemerlangan akademik serta mendorong penerima penajaan untuk terus mencapai prestasi terbaik sepanjang tempoh pengajian.
“JPA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang berjaya menerima tawaran penajaan tahun 2026. Kejayaan ini adalah pengiktirafan terhadap usaha dan kecemerlangan yang telah ditunjukkan,” katanya.
JPA berharap penajaan yang diberikan menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi profesional dan pemimpin masa depan yang berilmu, berintegriti serta mampu menyumbang kepada kemajuan negara.






