SEORANG wanita tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita Indonesia di sebuah kondominium di Bandar Sunsuria di Sepang, awal bulan ini.
Chin Siau Lan, 44, didakwa membunuh wanita Indonesia dikenali Puteri di sebuah unit di Kondominum The Olive, Bandar Sunsuria, pada jam 2.31 petang, 3 Jun lalu.
Siau Lan yang bekerja sendiri didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara selama 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Tertuduh mengakui faham pertuduhan bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Timbalan Pendakwa Raya V Luvithaa memohon tarikh sebutan kes bagi serahan dokumen berkaitan kes itu. Tertuduh pula diwakili peguam V Ayasamy.
Majistret Khairatul Animah Jelani kemudian menetapkan 21 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.






