PARTI Keadilan Rakyat (PKR) hampir memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, parti itu akan meletakkan calon di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan 16 kerusi DUN di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, pemilihan calon kali ini menampilkan gabungan seimbang antara muka lama dan muka baharu selain terus mengekalkan penyertaan wanita serta golongan muda.
“Kita akan menampilkan gandingan seimbang antara muka lama dan baharu, serta mengekalkan wakil wanita dan anak muda.
“Mengenai peratusan muka baharu, tunggu hari pengumuman nanti,” katanya mengulas mengenai senarai calon PKR untuk PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi jelajah mesra Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Pasar Raya Econsave Cash And Carry Taman Daya di Johor Bahru, hari ini.
Sebelum ini, PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai manakala Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.






