SEORANG lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan membabitkan rogol dan amang seksual terhadap dua cucu perempuannya yang masing-masing berusia 12 dan sembilan tahun.
Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh berusia 67 tahun sebaik semua pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan pertama dan keempat, tertuduh yang juga bapa kepada tiga anak didakwa melakukan amang seksual terhadap cucu perempuannya berusia 12 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 memperuntukkan hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa merogol mangsa di lokasi sama antara Januari hingga Disember tahun lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi cucunya berusia sembilan tahun dengan kejadian turut berlaku di rumah sama pada tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman mengikut Seksyen 26 dan Seksyen 27 AKSTKK.






