111 saman syarikat, 2 pengarah dakwa ditipu RM20.5 juta skim pelaburan patuh syariah

SEBANYAK 111 pelabur memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap sebuah syarikat pelaburan dan dua pengarahnya kerana gagal memulangkan modal pelaburan mereka berjumlah RM20.5 juta.

Pelabur berusia 89 tahun iaitu seorang wanita warga emas membuat pelaburan RM100,000, manakala yang paling muda berusia 28 tahun menyertai skim pelaburan itu dengan mengeluarkan modal berjumlah RM50,000, dengan jumlah pelaburan terbesar RM1.7 juta.

Semua pelabur yang bertindak sebagai plaintif mendakwa syarikat QEW Group Berhad gagal memenuhi tanggungjawab menguruskan skim pelaburan dan mula menangguhkan, mengurangkan dan akhirnya menghentikan sepenuhnya pembayaran dividen tanpa penjelasan kewangan munasabah, lapor BH.

Selain QEW, semua plaintif turut menamakan dua pengarahnya, Datuk Dr Muhamad Iqbal Mohamad dan Mohd Fairoz Muhammed sebagai defendan dalam saman difailkan pada 3 April lalu melalui firma guaman, Tetuan Azri & Co.

Melalui pernyataan tuntutan mereka, plaintif mendakwa antara tahun 2022 hingga 2024, mereka dipengaruhi dan didorong oleh defendan untuk melabur dan melanggan Skim Pelaburan RPS-i yang ditawarkan, dipromosikan, dipasarkan dan diuruskan defendan.

Sebelum menyertai skim itu, QEW melalui wakilnya iaitu Muhamad Iqbal dan Mohd Fairoz membuat representasi material mengenai struktur skim, mekanisme pembayaran dividen, jaminan pemeliharaan modal dan pematuhan kepada prinsip syariah.

Menurut plaintif, defendan membuat representasi secara nyata atau tersirat bahawa skim itu terstruktur dengan baik, selamat, dipantau menurut prinsip syariah dan akan menghasilkan dividen bulanan yang konsisten serta modal pelaburan mereka akan selamat.

“Defendan turut merepresentasikan bahawa syarikat Tawafuq Consultancy Sdn Bhd dilantik sebagai ejen dan penasihat syariah bagi pentadbiran dan operasi skim pelaburan berkenaan.

“Defendan juga menyatakan bahawa skim pelaburan itu tidak berasaskan konsep Musharakah atau Mudharabah… oleh itu, tiada sebarang elemen perkongsian kerugian atau risiko yang perlu ditanggung di bawah skim berkenaan.

“Kami menyatakan disebabkan representasi diberikan defendan, maka kami bersetuju untuk melabur dalam skim pelaburan itu dan membuat pembayaran modal pelaburan kepada defendan pertama mengikut jumlah pelaburan masing-masing,” kata plaintif.

Plaintif berkata, pada awalnya pembayaran dividen dibuat seperti dijanjikan, bagaimanapun pada suatu tempoh, QEW mula gagal melaksanakan kewajipan apabila pembayaran dividen yang dijanjikan ditangguhkan, dikurangkan dan seterusnya dihentikan sepenuhnya.

Kata plaintif, apabila dipersoalkan mengenai kegagalan pembayaran dividen, defendan menyatakan bahawa pembayaran adalah tertakluk kepada budi bicara mutlak syarikat, yang mana ia alasan yang tidak pernah dijelaskan secara munasabah atau ditegaskan sebagai risiko utama ketika pelaburan ditawarkan.

Sehubungan itu, plaintif memohon perintah supaya defendan pertama membayar RM20.5 juta kepada mereka dan perisytiharan bahawa defendan kedua dan ketiga bertindak cuai dan melakukan skim penipuan modal pelaburan mereka.

Plaintif juga memohon perintah supaya defendan kedua dan ketiga secara bersama atau berasingan menanggung rugi dan membayar ganti rugi khas juga sebanyak RM20.5 juta kepada mereka akibat kecuaian, representasi palsu dan konspirasi penipuan.

Plaintif juga memohon semua defendan membayar ganti rugi am dan ganti rugi teladan dan teruk berjumlah RM1 juta.

Peguam plaintif, Dr Hizri Hasshan ketika dihubungi berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Asmadi Hussin, menetapkan pada 6 Julai ini bagi tarikh pengurusan kes baharu selepas dimaklumkan semalam, bahawa defendan memfailkan notis pihak ketiga.

Notis itu bagi memasukkan syarikat AUF MBZ Consortium PLT sebagai pihak ketiga defendan dalam saman berkenaan.

AUF MBZ adalah syarikat pelaburan yang diasaskan usahawan Datuk Mahadi Badrul Zaman.

Pada 20 Februari lalu, syarikat itu yang diwakili Mahadi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.

Muhamad Iqbal pula didakwa atas kapasiti sebagai pengarah QEW Group Bhd dan didakwa bersubahat dengan AUF MBZ dalam urus niaga sekuriti tanpa lesen.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img