BERSEMPENA sambutan ulang tahun ke-10 Kongres Dron Sedunia Malaysia (DWC Malaysia), World UAV Federation (WUAVF) Malaysia dan Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (MUDA) akan menganjurkan rasmi Ekspo MyDrone 2026 (MDX2026) minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan merasmikan acara berprestij ini yang akan berlangsung dari 25 hingga 27 Jun di Malaysia Pusat Pameran dan Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang.
Presiden MUDA, Datuk Lester Tay berkata, penganjuran Kongres Dron Sedunia Malaysia 2026 menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi dron dan teknologi tanpa pemandu di rantau ASEAN.

Menurutnya, sebanyak 46 negara peserta WUAVF yang mewakili Asia, Eropah, Amerika, Afrika dan Oceania telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam kongres ini.
“Kehadiran delegasi antarabangsa, pemimpin industri, pembuat dasar serta pemain utama sektor teknologi akan membuka ruang kepada pertukaran ilmu, jaringan strategik dan kerjasama rentas sempadan yang lebih kukuh.
“Kongres ini turut menjadi platform penting bagi membincangkan perkembangan terkini industri dron global, dasar kawal selia, aplikasi teknologi serta peluang pelaburan masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, Lester memaklumkan, Ekspo MyDrone 2026 dianjurkan sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan visi Perdana Menteri dalam memperkasakan ekonomi negara melalui teknologi berimpak tinggi dan inovasi digital sekali gus mencerminkan kepentingan strategik acara ini kepada pembangunan industry teknologi negara.
Katanya, sebagai platform perdagangan dan jaringan perniagaan bertaraf antarabangsa, Ekspo MyDrone 2026 akan menghimpunkan pengeluar, inovator, penyedia teknologi, pelabur dan pembeli dari dalam serta luar negara.
Tambah beliau, ekspo tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri dron Malaysia dan pengembangan pasaran global.
“Antara tarikan utama ekspo adalah lebih daripada 100 gerai pameran daripada syarikat tempatan dan antarabangsa; forum industri, seminar teknikal, demonstrasi penerbangan dron secara langsung serta sesi padanan perniagaan (business matching).
“Selain itu, turut berlangsung pameran teknologi dron pertanian, logistik UAV, robotik pemeriksaan industri dan sistem automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI); Pavilion khas untuk syarikat Malaysia, peserta antarabangsa dan finalis anugerah industri dan penyertaan meluas daripada komuniti dron Malaysia yang dianggarkan mewakili hampir sejuta penggiat, pengendali dan peminat dron dalam ekosistem industri negara,” katanya.
Menurut Lester, sebagai kemuncak kepada penganjuran acara ini, majlis makan malam `Industry Excellence Awards Night 2026’ turut diadakan bagi meraikan pencapaian cemerlang individu, organisasi dan syarikat yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan industri dron, robotik dan teknologi negara.
“Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk mencemar duli sebagai Tetamu Kehormat Diraja bagi menyampaikan anugerah penghargaan.
“Semua delegasi dan wakil daripada 46 negara peserta WUAVF akan menghadiri majlis ini, sekaligus menjadikannya sebuah platform penghargaan dan jaringan antarabangsa yang berprestij,” katanya.






