KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sudah digerakkan untuk memberi bantuan dan sokongan kaunseling kepada keluarga pelajar tingkatan empat yang meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan sekolah di Sendayan, Negeri Sembilan hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan sama akan diberikan kepada warga sekolah yang memerlukan susulan kejadian malang itu.
Beliau juga memohon semua pihak supaya memberi ruang kepada keluarga untuk tenang dalam menghadapi tragedi itu dengan tidak menyebarkan perkara yang tidak sahih.
“Saya mohon elak penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya sementara pihak polis menjalankan siasatan.
“Saya dan (isteri) Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) mendoakan semoga roh anak ini dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Semoga keluarga dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari blok bangunan sebuah sekolah menengah di Sendayan hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 10.48 pagi.
Menurutnya, laporan awal memaklumkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kawasan sekolah berkenaan.






