Pegawai LHDN, doktor dan anak antara 3 maut kemalangan di Chini semalam

TIGA termasuk seorang doktor dan anak perempuannya berusia dua tahun serta pegawai kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 67, Jalan Kuantan – Segamat dekat Chini, di Pekan semalam.

Kesemua mangsa yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 6 petang itu ialah pegawai perubatan Hospital Segamat, Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33; anaknya, Dhea Sofia, 2, dan Ketua Penolong Pengarah LHDN Cawangan Cyberjaya, Azaharuddin Mohd Ali, 46.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan turut menyebabkan tiga penumpang kereta, dua penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pemandu pikap cedera.

Menurutnya, ketika kejadian, kereta dipandu pegawai perubatan terbabit dan MPV dipandu Azaharuddin dalam perjalanan dari arah Segamat ke Kuantan serta pikap dipandu seorang lelaki berusia 31 dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan, kemalangan dipercayai berlaku selepas pikap terbabit cuba memotong sebuah lori.

“Bagaimanapun kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan serta bertembung dengan kereta dan MPV dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta dan MPV meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, seorang kanak-kanak perempuan pula disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Chini.

Menurutnya, tiga penumpang kereta yang cedera ialah isteri Dr Mohamad Zekry Zuhairy, juga pegawai perubatan di Hospital Segamat, Dr Hana Ibrahim, 35, serta bapa dan ibunya masing-masing berusia 72 dan 80 tahun.

“Turut cedera, penumpang MPV iaitu isteri Azaharuddin, Fatimah Awing Kechik, 46; anaknya Aiman Faez Al-Amini, 15,” katanya.

Semua mangsa yang cedera sedang dirawat di Hospital Pekan.

Beliau berkata, mayat kesemua mangsa dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut, kata Mohd Zaidi.

Media semalam melaporkan, dua terbunuh akibat kemalangan membabitkan MPV, pikap dan sebuah kereta. Anak Dr Mohamad Zekry Zuhairy meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Chini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, tujuh anggota BBP Chini bergegas ke lokasi sebaik mendapat laporan mengenai kejadian jam 5.55 petang.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img