POLIS menahan seorang lelaki menghidap sakit mental selepas dipercayai memukul kepala neneknya yang berusia 79 tahun dengan tukul besi, di sebuah rumah di Kampung Kuala Abang di Dungun petang semalam.
Kejadian berlaku apabila wanita warga emas itu menghalang cucu lelakinya berusia 25 tahun yang tinggal bersamanya untuk keluar rumah, sebelum berlakunya pertengkaran antara mereka.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.55 petang.
“Suspek dipercayai telah menolak mangsa, sebelum bertindak memukul wanita berkenaan menggunakan tukul besi sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ab Halim berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Beliau berkata, polis telah menahan suspek yang memiliki kad pesakit mental bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, manakala tukul besi yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.






